Posted on: 11/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kempen ‘KL Cegah, KL Sihat’ yang bertujuan meningkatkan keyakinan pengunjung ke Bukit Bintang di sini  mula menampakkan keberkesanan walaupun baharu diperkenal kelmarin.

Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Jalan Alor Simon Ang berkata berdasarkan pemerhatian, pelawat sudah mula berkunjung ke tempat perniagaan walaupun jumlahnya belum ramai.

“Setakat ini, sudah nampak ada aktiviti perniagaan dan kehadiran pengunjung. Saya harap lebih ramai orang akan datang ke sini,“ katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peniaga tidak mempunyai masalah mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam kempen itu kerana mereka sendiri telah mengambil inisiatif awal mempromosikan usaha mensanitasi premis perniagaan selain hanya membenarkan pelanggan yang lengkap vaksinasi masuk.

Seorang peniaga, Triwi Sia, 34, pula berkata kempen itu berjaya meningkatkan jumlah pelanggan ke premisnya hari ini. Beliau percaya ia susulan rasa yakin pelanggan terhadap langkah yang diambil kerajaan bagi membendung penularan COVID-19.

“Sebelum ini, pelanggan sangat kurang tetapi selepas kempen ini diadakan semalam, ada sedikit pertambahan dari segi jumlah pelanggan yang mula makan di sini,“ katanya.

Seorang pengunjung, Wong Lee, 46, berkata kempen itu menyebabkan beliau tidak lagi berasa gusar untuk mengunjungi premis di kawasan tersebut.

“Saya berasa selamat kalau semua peniaga dan pelanggan sudah divaksin. Saya akan cari kedai yang selamat baru saya duduk dan makan. Saya agak keberatan memilih kedai makan yang ada ramai pengunjung,” katanya ketika ditemui di sebuah premis makanan di Jalan Alor.

Kelmarin, Menteri  Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan  melalui  kempen itu, pihaknya berharap  operasi perniagaan di Bukit Bintang dapat dipulihkan sekali gus membantu mereka yang terjejas pendapatan.

Sumber: BERNAMA