Posted on: 11/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Hampir RM40 juta peruntukan diluluskan kerajaan Selangor semalam untuk melaksanakan tindakan segera kerja-kerja mitigasi banjir di 50 kawasan yang dikategorikan sebagai hotspot banjir. 

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Ir Izham Hashim berkata pelaksanaan kerja-kerja tersebut akan dilakukan bermula bulan hadapan dan dijangka siap secara berperingkat sehingga April 2022. 

Katanya peruntukan tersebut meliputi lebih RM25.67 juta bagi pelaksanaan 35 perolehan kerja termasuk pengorekan dan mendalamkan sungai; pembinaan dan naik taraf ban; pengorekan kolam takungan; pemasangan pam dan kerja penguatkuasaan dan perobohan struktur haram dalam rizab sungai dataran banjir.

“Selain itu projek membina Kolam Takungan Bluewater, Seri Kembangan dengan anggaran kos projek RM4 juta dan membina kolam takungan banjir di Lebuhraya Grand Shapadu bersebelahan Taman Mutiara Bukit Raja dengan kos RM10 juta akan dilaksanakan segera,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Izham berkata tindakan segera  tersebut membolehkan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor melaksanakan kerja-kerja mitigasi banjir dalam tempoh yang singkat yang penyediaan reka bentuk dilaksanakan secara dalaman oleh jabatan itu termasuk projek yang telah siap reka bentuk untuk dilaksanakan bagi mengurangkan kekerapan dan impak banjir kepada penduduk terkesan. 

Bagi tindakan jangka panjang katanya, kerajaan Persekutuan telah meluluskan bajet RM455 juta dan kerajaan negeri juga telah memohon kepada kerajaan Persekutuan  di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM1.35 bilion lagi bagi penyelesaian banjir secara holistik melibatkan lima projek tebatan banjir.

Selain itu katanya bagi tindakan jangka pendek dan panjang menggunakan peruntukan pembangunan negeri, RM250 juta telah diluluskan di bawah RMK12 dan sedang dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2024.

Sumber: BERNAMA