Posted on: 12/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa hari ini  memberi  ‘peringatan mesra’ kepada penggiat seni yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 supaya segera berbuat demikian dan seterusnya kembali berkarya.

Beliau berkata ini adalah ikhtiar bagi melindungi diri mereka daripada jangkitan virus berbahaya itu kerana suntikan vaksin dapat mengurangkan kebolehjangkitan kepada orang lain.

“Kita kena hidup dengan COVID-19 dan jangan (sampai) COVID-19 menghalang kita daripada membuat penggambaran, kita tak boleh buat pertunjukan pentas, menyanyi dan sebagainya.

“Kita kembali ke kehidupan yang biasa sebab ikhtiar dah buat, kerajaan sudah buat tapi kalau kita sendiri tak nak ambil (vaksin COVID-19) maka kita akan menanggung risiko,” katanya  ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Program Keluarga Malaysia Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini.

Pada majlis itu, Annuar menyampaikan sumbangan kepada 45 artis veteran.

Turut hadir  Pengerusi FINAS Zakaria Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Profesor Dr Md Nasir Ibrahim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Mastura Ahmad Mustafa.

Sumber: BERNAMA