Posted on: 13/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong. 

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.  Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin di Istana Negara. 

Bersempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong kali ini, seramai 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021.

Daripada jumlah itu, seramai 44 individu akan menerima darjah kebesaran masing-masing hari ini. 

Ini merupakan tahun kedua menyaksikan istiadat itu berlangsung dalam suasana norma baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ekoran pandemik COVID-19. 

Tetamu yang hadir perlu memakai pelitup muka, disaring suhu badan dan mengimbas kod QR MySejahtera di balai keselamatan Istana Negara. 

Para petugas di Istana Negara turut memakai pelitup muka dan kerusi di Balairong Seri disusun berdasarkan penjarakan fizikal seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. 

Sumber: BERNAMA