Posted on: 15/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini diberitahu bahawa sejumlah lebih RM12 juta dibelanjakan untuk kerja pemuliharaan dan penyelenggaraan hutan di negeri ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2018.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pada tahun lepas, kerajaan negeri  membelanjakan sebanyak RM4,850,000  untuk kerja itu termasuk kerja mengaya, restorasi hutan, tanaman bakau, rawatan pokok bakau serta inventori hutan sebelum dan selepas tebangan selain menyelenggara Taman Eko Rimba dan petak Hutan Pemeliharaan Bernilai Tinggi (HCVF).

”Pada tahun 2019 pula, sejumlah RM4,860,800 dibelanjakan untuk kerja mengaya, restorasi hutan, tanaman bakau, rawatan pokok bakau, inventori hutan sebelum dan selepas tebangan selain mengukur dan mencuci sempadan Hutan Simpanan Kekal, menyelenggara Taman Eko Rimba, penubuhan petak HCVF serta pembinaan tapak semaian dan bahan tanaman,” katanya.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Amanah-Alor Mengkudu) yang ingin tahu skop kerja pemuliharaan dan penyelenggaraan hutan di negeri ini termasuk jumlah perbelanjaan bagi tahun lepas, 2019 dan 2018.

Muhammad Sanusi berkata pada 2018 pula, kerajaan negeri membelanjakan sejumlah RM2,549,600 untuk kerja pemuliharaan dan penyelenggaraan itu yang juga termasuk mengukur dan mencuci sempadan Hutan Simpanan Kekal, menyelenggara Taman Eko Rimba serta pembinaan tapak semaian dan bahan tanaman.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini, keluasan Hutan Simpanan Kekal yang telah diwartakan di negeri ini berkeluasan 341,895.95 hektar dan seluas 3,428 hektar kawasan hutan simpanan itu diceroboh berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan Negeri.

Menjawab soalan tambahan daripada Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau), Menteri Besar Kedah itu berkata negeri itu berjaya memperoleh sijil Pensijilan Pengurusan Hutan (PPH) pada 6 Okt 2003 yang melibatkan Hutan Simpanan Kekal seluas 310,951 hektar.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata Sijil Pengurusan Hutan itu digantung pada Mei 2019 dan seterusnya dibatalkan kerana  faktor antaranya tidak mengemukakan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) berkaitan projek pembangunan ladang hutan.

Namun, beliau berkata kerajaan negeri berjaya memperoleh semula sijil pengurusan itu pada 1 Okt lepas sekali gus membuktikan Hutan Simpanan Kekal di Kedah diuruskan dengan baik dan mencapai standard yang ditetapkan pada peringkat antarabangsa.

Sumber: BERNAMA