Posted on: 16/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan menambah empat negara anggota baharu iaitu  Colombia, Ghana, Honduras dan Papua New Guinea, kata Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Pada masa ini, CPOPC dianggotai oleh Malaysia dan Indonesia. Beliau berkata, penambahan empat negara anggota baharu itu dapat mewujudkan satu gabungan strategik dalam usaha CPOPC menstabilkan harga sawit pada tahun depan.

“Selain itu, penyertaan baharu ini akan dapat mengukuhkan kawalan terhadap pasaran sawit dalam kalangan anggota CPOPC dan memastikan bahagian pasaran di luar negara dapat dipertingkatkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang bertanya mengenai perancangan strategik Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bagi menghadapi ketidaktentuan harga komoditi yang dijangka berlaku pada 2022.

Menurut  Zuraida,  kementerian terbabit akan memberi fokus ke atas  pekebun-pekebun kecil sawit untuk mewujudkan satu mekanisme berkelompok yang membolehkan ladang mereka diusahakan secara berkelompok bagi menghasilkan produktiviti yang tinggi.

“Mekanisme ini akan memberi kesan positif dan hasil lumayan selain meningkatkan pendapatan pekebun kecil,” katanya.

Penjelasan beliau itu bagi menjawab soalan tambahan Che Alias mengenai mekanisme kerajaan bagi menjamin perlindungan dan daya tahan ke atas pekebun untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan harga komoditi di masa depan.

Selain itu, menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai status semasa langkah sekatan dan kempen anti minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia, Zuraida berkata satu sesi pendengaran akan diadakan awal tahun depan untuk Malaysia membentangkan fakta serta polisi bagi menyanggah kempen tersebut.

Malah, katanya, Malaysia telah mengambil tindakan undang-undang ke atas EU masing-masing pada 1 Julai 2020 dan 15 Januari 2021 dengan menfailkan menerusi Mekanisme Penyelesaian Pertikaian di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Susulan itu, satu sesi konsultasi antara Malaysia dan EU telah diadakan pada 17 Mac 2021. Ia tidak mendapat apa-apa persetujuan dan lanjutan daripada pendengaran ini akan diadakan pada Januari 2022.

“Saya akan menghadiri sesi ini untuk membentangkan fakta-fakta lebih tepat kepada EU bagi menangkis andaian mereka mengenai dasar yang dilaksanakan di negara ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA