Posted on: 17/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jenazah juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang maut dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, di sini malam tadi akan dikebumikan di kampung halamannya di Muadzam Shah, Pahang hari ini.

Adik perempuan arwah yang mahu dikenali sebagai Nur 20-an berkata beliau dan kakak iparnya, Nurul’ Ezati Shari, 31, datang ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk membuat pengecaman dan menuntut jenazah sebelum dibawa pulang selepas selesai proses bedah siasat.

“Abang ke sini (Pangkalan Udara Butterworth TUDM) untuk menjalani latihan (penerbangan). Beliau dan isterinya tinggal di Labuan dan semasa kejadian, kakak ipar (isteri arwah) sedang bercuti di Kelantan.

“Saya dan kakak ipar terus bergegas ke sini sebaik kami dimaklumkan oleh pihak TUDM berhubung kejadian yang menimpa abang…kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik HSJ, di sini hari ini.

Dalam nahas yang berlaku pada 10.07 malam Selasa (16 Nov) itu, seorang juruterbang TUDM  maut sementara seorang lagi cedera ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.

Markas Tentera Udara dalam kenyataan malam tadi mengesahkan juruterbang yang terkorban ialah Kapten Mohamad Affendi, 31, manakala rakannya Mejar Mohd Fareez Omar, 33, cedera dan sedang dirawat dan dilaporkan stabil di HSJ, Pulau Pinang.

Nur yang kelihatan beberapa kali menahan sebak dan menanggis berkata arwah abangnya merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan seorang yang sangat bertanggungjawab dan baik terhadap keluarga.

“Kakak ipar masih terkejut dengan kejadian yang berlaku.. saya minta bagi ruang kepadanya,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu,  Omar Deros, 60-an,  bapa Mejar Mohd Fareez berkata beliau bersyukur kerana anaknya selamat dalam nahas tersebut namun bersedih serta bersimpati dengan kematian Mohamad Affendi.

Beliau yang tinggal di Selangor berkata pihak TUDM memaklumkan kepadanya berhubung nahas tersebut pada  kira-kira pukul 11 malam tadi dan terus bergegas ke Pulau Pinang sebelum tiba di rumah saudara di Butterworth pukul 8 pagi tadi.

“Alhamdulillah Fareez selamat, kami sekeluarga bersyukur dia hanya mengalami kecederan…saya dimaklumkan oleh pihak TUDM, anak dalam keadaan selamat dan masih dalam pemantauan serta pengawasan pihak hospital.

“Setakat ini kami masih belum dibenarkan berjumpa dengan Fareez di HSJ, saya juga difahamkan dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan, tapi setakat ini belum tahu pembedahan apa,” katanya.

Terdahulu pihak media berada di Unit Forensik HSJ dan menunggu lebih lima jam bagi proses bedah siasat jenazah Mohamad Affendi, sebelum jenazah dibawa ke Pangkalan Udara Butterworth TUDM untuk diterbangkan ke Muadzam Shah pada pukul 2 petang tadi.

Turut hadir di Unit Forensik HSJ ialah Komander Pangkalan Udara Butterworth TUDM Brigedier Jeneral Shaiful Azuar Ariffin dan beliau kelihatan mengiringi jenazah menaiki pesawat penerbangan TUDM.

Sementara itu tinjauan Bernama di tempat kejadian iaitu di luar kawasan sekitar Pangkalan Udara Butterworth berdekatan Kampung Benggali, Sungai Puyu, Butterworth pagi tadi mendapati sekumpulan anggota TUDM sudah berada di tapak landasan bagi menjalankan siasatan lanjut yang dipercayai bermula seawal 8 pagi.

Kawasan sekitar landasan turut dikawal ketat oleh anggota TUDM dan beberapa kenderaan dipercayai kenderaan milik TUDM  kelihatan berada di tempat kejadian selain sebuah khemah telah didirikan berhampiran tapak kemalangan.

Orang awam juga berada di situ untuk melihat sendiri bangkai pesawat yang terhempas secara lebih dekat.

Sumber: BERNAMA