Posted on: 17/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan untuk menambah skim perumahan kepada anggota polis selaras komitmen kementerian dalam memastikan kebajikan anggota pasukan keselamatan itu terjamin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata skim itu membabitkan perancangan sama ada untuk membaik pulih dan menaik taraf kuarters polis atau membina kuarters baharu.

“Sekarang ini ada elaun perumahan RM300 dan juga elaun bantuan sara hidup (COLA) RM300 dan kita juga memikirkan untuk menambah lagi skim perumahan anggota polis seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) yang ingin tahu langkah KDN dalam mengatasi isu kadar sewaan rumah yang tinggi terutama di kawasan bandar bagi anggota polis berpangkat rendah yang tidak menetap di kuarters polis.

Sementara itu, mengulas pertanyaan asal daripada Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) yang meminta KDN menyatakan gaji anggota polis paling rendah dan kali terakhir kenaikan gaji anggota polis, Ismail berkata gaji terendah bagi anggota polis adalah RM1,220 iaitu gaji permulaan minimum bagi Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Sokongan.

“Jumlah itu adalah merujuk kepada gaji pokok tanpa mengambil kira elaun dan insentif lain yang dibayar mengikut penugasan anggota,” katanya sambil memberitahu kelayakan digunakan adalah akademik peringkat Pentaksiran Tingkatan Tiga atau Penilaian Menengah Rendah atau kelayakan setaraf dengannya.

Beliau juga menjelaskan pada 2016, kerajaan menambah baik struktur gaji dan skim perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2016 di bawah Rasionalisasi Skim Perkhidmatan PDRM bagi Sistem Saraan Malaysia (SSM). 

“Perubahan ini melibatkan semua peringkat skim di PDRM iaitu Skim perkhidmatan Pegawai Kanan Polis; Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel; Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli; dan Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Sokongan,” katanya.

Sumber: BERNAMA