Posted on: 17/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Langkah kerajaan membenarkan poster serta biodata calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disiarkan menerusi platform media arus perdana adalah selari dengan pendekatan politik yang dinamik iaitu berubah mengikut situasi dan masa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata dalam konteks sekarang, jika perkara itu tidak berlaku, pemberitaan dalam media sosial akan tetap ‘berjalan’ dan rakyat khususnya pengundi di Melaka juga mahu melihat pembaharuan tersebut berlaku dalam PRN kali ini.

“Sekiranya kita (kerajaan) yang baik, kita tidak harus mempunyai sebarang rasa kekurangan atau merasakan (perlu) membina tembok yang tinggi antara kerajaan dan pembangkang, pendekatan masa ini ialah rakyat boleh membandingkan antara perkara yang baik dan tidak baik secara lebih matang sifatnya.

“Jadi kita tidak perlu takut untuk memberi ruang yang cukup dalam proses menyemarakkan demokrasi supaya akhirnya yang terbaik akan dipilih oleh rakyat walaupun (pelaksanaan) sudah lama diperkatakan, ia bergantung kepada soal tekad, keinginan dan keyakinan politik untuk melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam rancangan ‘Bicara Khas : Politik Matang, Persaingan Sihat, Komunikasi Hebat’ menerusi TV1 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi (16 November).

Sebelum ini, Annuar dilaporkan berkata kerajaan membenarkan RTM menyiarkan poster dan biodata calon selepas mengambil kira kesulitan mereka berkempen selain pengundi yang kurang mengenali individu yang bertanding.

Beliau berkata kerajaan juga memberi ruang kepada calon PRN Melaka untuk menyatakan aspirasi masing-masing melalui saluran radio MelakaFM bagi membantu mereka berkempen melalui siaran rasmi kerajaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober selepas empat ahlinya menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri.

Mengulas perancangan liputan pilihan raya pada masa akan datang termasuk PRN Sarawak dan di peringkat nasional menggunakan siaran arus perdana bagi calon berkempen, Annuar berkata beliau akan melihat opsyen tertentu bagi mewujudkan saluran digital secara khusus.

“Tidak dinafikan sebenarnya ada masalah tertentu untuk melakukan perkara sebegini kerana dalam siaran TV, sudah ada program yang komited dan masa tayang sangat terbatas, tidak boleh diubah-ubah secara ad hoc dan ada kosnya.

“Namun memandang ke hadapan dengan perkembangan teknologi, barangkali kita boleh melihat opsyen lain seperti aplikasi myklik RTM boleh sahaja diwujudkan saluran digital yang boleh dedikasikan untuk pilihan raya sebagaimana dilakukan baru-baru ini untuk Sukan Olimpik, yang ada saluran tertentu untuk siar segala peristiwa yang berlangsung pada sukan tersebut,” katanya.

Sumber: BERNAMA