Posted on: 17/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Peningkatan kes pelantikan atau ‘tripping’  talian voltan tinggi susulan kerja-kerja pembinaan berhampiran kawasan rizab talian, membimbangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) apabila jumlah kes tersebut melonjak tujuh kali ganda dalam tempoh 10 bulan tahun ini.

Ketua Pegawai Grid TNB Datuk Husaini Husin berkata kes pelantikan disebabkan kerja-kerja pembinaan oleh pemaju dalam ‘rentis’ TNB itu, melonjak kepada lapan kes sehingga Oktober lepas berbanding tahun sebelumnya yang hanya mencatat satu kes.

“Kami khuatir jika ada lagi pemaju yang masih mengingkari nasihat kami untuk menjauhi rentis talian penghantaran TNB. Kes pelantikan tahun ini kembali meningkat kepada dua digit seperti yang dilaporkan pada 2018 dengan 18 kes,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kes pelantikan bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa, malah mengganggu kestabilan dan keselamatan sistem grid nasional yang menyalurkan bekalan elektrik kepada hampir 9.5 juta pelanggan di Semenanjung, termasuk operasi sektor perindustrian dan perdagangan.

Mengulas lanjut, beliau berkata TNB telah mengambil pelbagai langkah proaktif seperti membuat pemantauan dan mengenal pasti projek tanpa kelulusan bagi kawasan berisiko tinggi.

“Sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan juga dilakukan, selain usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemaju dan penduduk sekitar melalui pengedaran risalah, pemasangan papan tanda amaran, penggunaan kamera keselamatan pintar, memasang penghadang had ketinggian sementara dan meletakkan penanda sempadan di kawasan rentis TNB,” katanya.

Dalam pada itu, mana-mana pihak yang membuat aktiviti berhampiran dengan pepasangan elektrik tanpa kebenaran dan membahayakan orang atau harta boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

Selain itu, apa-apa perbuatan yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada mana-mana pepasangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya di bawah Akta yang sama.

Pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau menerusi Facebook TNB CareLine sekiranya terdapat insiden pencerobohan atau sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB.

Sumber: BERNAMA