Posted on: 18/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Program Malaysia Truly Asia AEROMEET 2021, platform yang membawa pemain industri pelancongan dari rantau Amerika, Eropah dan Oceania (AERO) terlibat dalam sesi antra perniagaan (B2B) kembali tahun ini, selepas terhenti sejak 2014.

Edisi Malaysia Truly Asia AEROMEET 2021 anjuran Tourism Malaysia yang diadakan secara maya sepenuhnya bermula hari ini, akan berlangsung sehingga Khamis.

Tourism Malaysia dalam kenyataan  berkata 102 pertubuhan dari Malaysia yang merangkumi 50 syarikat pengendali pelancongan, tiga agensi perjalanan dalam talian, 35 hotel, enam lembaga pelancongan negeri dan lapan pertubuhan pelancongan, mengambil bahagian dalam program berkenaan bagi mempromosi produk serta perkhidmatan masing-masing.

“Acara ini menawarkan pelbagai sesi untuk disertai seperti seminar, penyampaian kertas kerja, dan kemas kini produk oleh pemain industri pelancongan tempatan. Sesi yang ditampilkan juga dibahagikan mengikut rantau Amerika, Eropah dan Oceania,” katanya.

Malaysia Truly Asia AEROMEET 2021 menyediakan platform bagi pemain industri mengadakan sesi B2B dengan pelanggan serta media dari rantau AERO untuk berbincang mengenai perkembangan terkini sektor pelancongan, pelbagai acara, serta peluang-peluang perniagaan.

Tourism Malaysia, yang merupakan agensi dengan tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan berkata, pihaknya tidak sabar untuk membincangkan kemungkinan kerjasama dan perkongsian dengan memanfaatkan spektrum B2B.

Selain itu  ia berharap untuk memulihkan keyakinan dalam kalangan agensi pelancongan antarabangsa untuk mempromosikan dan ‘menjual’  destinasi tarikan pelancong di Malaysia kepada orang ramai sebaik sahaja sempadan negara dibuka.

Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada 11 Nov mencadangkan agar sempadan negara dibuka semula kepada pelawat asing selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun depan dalam usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, khususnya dalam sektor pelancongan.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik sebagai berkata bahawa Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengenal pasti negara-negara berkaitan, terutama negara yang mempunyai kadar vaksin lengkap yang tinggi terhadap COVID19, untuk dibenarkan masuk ke Malaysia.

Sumber: BERNAMA