Posted on: 18/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) akan membekalkan dos vaksin penggalak Sinovac kepada hospital dan klinik swasta terpilih tidak lama lagi, susulan kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) semalam.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata vaksin itu boleh didapati di hospital dan klinik swasta tertentu sebagai pilihan bagi individu yang berhasrat mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 jenis Sinovac bagi diri mereka.

“Kami harap dengan usaha ini kita akan dapat lihat ekonomi negara terus pulih, di samping membantu rakyat Malaysia menangani pandemik, sekali gus memastikan kesejahteraan orang ramai, kelangsungan perniagaan, dan yang penting sekali menyelamatkan nyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dos penggalak vaksin COVID-19 Sinovac itu telah mendapat kelulusan untuk diberikan kepada individu berumur 18 tahun dan ke atas yang telah menerima vaksin jenis yang sama (homologous) tiga hingga lima bulan selepas dos kedua, sebagaimana yang digariskan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Penggalak (CITF-B).

Katanya beliau difahamkan beberapa bandar raya dan wilayah di China telah mula memberikan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada mereka yang telah menerima dos kedua sekurang-kurangnya enam bulan yang lepas.

“Di China dos penggalak itu mula diberikan selepas 80 peratus populasi negara berkenaan divaksin, untuk memberikan perlindungan optimum dalam menentang virus dan varian baharu.

“Berdasarkan penyelidikan di China, dos penggalak diberikan selang enam hingga 12 bulan selepas dos kedua bagi mewujudkan respons imun yang lebih mantap, dengan geometric mean titers (GMTs) meningkat sehingga kira-kira 140 dalam kalangan dewasa, dan lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berumur 60 tahun keatas,” katanya.

Beliau berkata GMT enam bulan selepas dos ketiga adalah lebih tinggi daripada kemuncak dos kedua, dan menambah bahawa kajian juga menunjukkan kekuatan antibodi yang lebih tinggi sehingga 20 kali ganda, enam bulan selepas dos penggalak berbanding dos kedua, menunjukkan tempoh perlindungan yang lebih lama dan menangani varian baharu.

“Vaksin Sinovac COVID-19 adalah selamat kerana ia dibangunkan dengan menggunakan virus tidak aktif yang merupakan teknologi yang mantap selama lebih daripada 40 tahun, yang juga biasa digunakan dalam pelbagai jenis vaksin yang boleh didapati di pasaran termasuk untuk polio, Hepatitis A dan rabies,” katanya.

Sumber : BERNAMA