Posted on: 19/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Seramai 253,785 rakyat Malaysia telah berjaya ditempatkan ke alam pekerjaan dari tempoh 1 Jan hingga 12 Nov lalu menerusi portal pekerjaan negara – MYFutureJobs, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Menurut beliau, penempatan itu yang dkendalikan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), membuktikan kerajaan telah berusaha sebaik mungkin untuk membantu rakyat.

Ini terutama selepas ribuan pekerja daripada pelbagai sektor termasuk pelancongan dan perhotelan, penerbangan serta pembinaan, terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Katanya menyedari hakikat bahawa rakyat memerlukan sokongan daripada kerajaan ketika tempoh mencabar itu, pelbagai inisiatif lain turut dilaksanakan kerajaan bagi memastikan rakyat dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Ini termasuk Program Subsidi Upah PERKESO  yang telah berjaya menyelamatkan syarikat-syarikat Malaysia daripada gulung tikar serta para pekerja daripada kehilangan pekerjaan dan sumber kewangan.

Selain itu, Skim Insurans Pekerjaan PERKESO yang diperkenalkan pada tahun 2018 juga, katanya telah memainkan peranan besar dalam melindungi para pekerja yang diberhentikan kerja dan menjamin kestabilan kewangan mereka dalam tempoh pandemik.

“Inisiatif  kerajaan seperti inilah yang telah membantu negara bangun semula daripada kesan hebat pandemik,” kata beliau ketika berucap merasmikan Malam Anugerah Media PERKESO yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Saravanan berkata kerajaan sedar peranan media yang komited dalam menghebahkan segala inisiatif yang dilancarkan kerajaan bagi membantu rakyat yang terjejas sepanjang pandemik. 

Tidak hanya itu, media, katanya turut memainkan peranan dalam memperjelaskan salah faham dalam kalangan rakyat berhubung penyaluran atau pengurusan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

“Jasa semua pengamal media tidak mungkin dapat kami balas dalam apa jua bentuk sekalipun. Profesionalisme anda semua perlu diberikan penghargaan sewajarnya.

“Justeru, saya berharap Malam Anugerah Media PERKESO  2021 yang diadakan julung kali ini, akan menjadi pemangkin dalam merapatkan hubungan antara Kementerian Sumber Manusia dan agensi-agensinya, terutama PERKESO dengan pihak media,” katanya.

Sumber: BERNAMA