Posted on: 22/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan Pulau Pinang menggesa warga emas dan golongan berisiko tinggi agar mengambil suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata tindakan mereka menolak dos penggalak akan menyukarkan usaha kerajaan negeri menangani penularan wabak tersebut.

“Setakat ini hampir 35,000 orang telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19, namun ada kira-kira 40 peratus yang tidak hadir  janji temu seperti ditetapkan dalam MySejahtera dan menyebabkan Pulau Pinang direkodkan antara lima negeri terendah penerima dos tersebut.

“Berdasarkan maklumat, ada di antara mereka yang tidak hadir itu disebabkan enggan menerima vaksin berbeza, contohnya jika dos pertama vaksin jenis Sinovac mereka nak dos penggalak juga daripada jenis yang sama (Sinovac) dan tidak mahu campur (vaksin).

“Saya minta mereka  terima sahaja dos pengalak Pfizer kerana Kementerian Kesihatan (KKM) telah buat kajian berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Tabung Bantuan Pelajar COVID-19 di Icon City di sini, hari ini.

Pada majlis itu 111 pelajar yang kehilangan ibu atau bapa akibat wabak tersebut menerima sumbangan wang tunai hasil kutipan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Lions Club Bayan Baru.

Mengulas lanjut, Norlela berkata kerajaan negeri berusaha meningkatkan kesedaran berhubung pemberian dos berkenaan di negeri itu termasuk mewujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) dos penggalak sebagai kemudahan kepada rakyat.

Menurutnya ketika ini sebanyak 74 klinik dan lapan hospital swasta dijadikan pusat pemberian suntikan dos berkenaan, selain sebuah  PPV dos penggalak  di Sunshine Square di bahagian pulau yang boleh memberi sebanyak 1,500 dos sehari.

Beliau berkata bermula esok orang ramai boleh mendaftar bagi mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 secara walk-in atau jumpa terus dan pihaknya memberi jaminan vaksin yang ditawarkan mencukupi.

Sumber: BERNAMA