Posted on: 25/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pengguna telefon bimbit atau peranti 3G perlu segera beralih kepada rangkaian 4G sebelum perkhidmatan 3G di Malaysia ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember ini, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini, tindakan itu bagi mengelakkan pengguna terkesan dan ketinggalan dalam gelombang pendigitalan.

“Pengguna yang masih memiliki kad SIM yang hanya menyokong rangkaian 3G disaran segera menghubungi penyedia perkhidmatan terdekat untuk menaik taraf ke 4G bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.

Penamatan rangkaian 3G adalah seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan liputan jalur lebar yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi di bawah inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menurut MCMC, ia bertujuan untuk mengguna semula spektrum sedia ada bagi mengukuhkan rangkaian 4G serta membolehkan penyedia rangkaian mudah alih meningkatkan ketersambungan digital dan memberikan pengalaman 4G yang lebih baik serta menarik kepada pelanggan dan isi rumah.

Suruhanjaya itu memaklumkan setakat 30 Sept lepas, sebanyak 94.03 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses 4G dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat.

Pihak penyedia perkhidmatan iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan U Mobile Sdn Bhd telah berjaya melakukan migrasi 1.2 juta pelanggan kepada 4G, menurut MCMC.

Sumber: BERNAMA