Posted on: 25/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Keindahan Zhejiang di China kini boleh diakses secara dalam talian oleh rakyat Malaysia selepas pameran maya berkaitan wilayah itu dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Wilayah Zhejiang bermula semalam. 

Pameran bertema ‘Panorama Hall of Virtual Exhibition of Zhejiang’ yang berakhir pada 30 Nov ini memberikan gambaran Zhejiang secara keseluruhan daripada lima aspek iaitu landskap, sejarah, warisan budaya tidak ketara, kesenian dan makanan. 

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Wilayah Zhejiang Chu Ziyu berkata pandemik COVID-19 memberi tamparan hebat kepada pertukaran dalam sektor kebudayaan dan pelancongan antara wilayah itu dengan Asia Tenggara.

“Meskipun pandemik telah memisahkan kita secara geografi, hasrat dan keinginan kita untuk melakukan pertukaran itu tidak pernah surut. 

“Justeru, kami telah menyediakan ‘Panorama Hall of Virtual Exhibition of Zhejiang’ untuk menampilkan landskap yang indah, sejarah yang mendalam, kerja tangan yang halus, representasi artistik  dan  cita rasa kulinari Zhejiang dengan lima bab iaitu Charm of Landscape, Collection of History, Alley of Craftsmanship, Echo of  Sounds dan Taste of Jiangnan,” katanya semasa berucap secara maya pada pelancaran pameran maya itu.

Pameran itu telah dilancarkan serentak secara dalam talian di Malaysia, Singapura dan Vietnam oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri di Wisma Bernama di sini. 

Turut hadir Duta Besar China ke Malaysia  Ouyang Yujing, Ketua Perwakilan Pusat Promosi Pelancongan Zhejiang di Asia Tenggara Datuk Keith Li, Pengerusi Malaysia-China Insight Trilingual News Datuk Seri Azman Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia  (Bernama) Datuk Mokhtar Hussain.

Menyertai program itu secara maya ialah Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Wilayah Zhejiang Chu Ziyu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Singapura Keith Tan serta Naib Pengerusi Pentadbiran Pelancongan Negara Vietnam Ha Van Sieu.

Ouyang pula berkata pertukaran kebudayaan dan pelancongan telah dipindahkan ke platform secara dalam talian bagi memperkaya pertukaran antara rakyat keduadua negara. 

Beliau berkata antara pertukara kebudayaan dan pelancongan yang dilakukan secara maya ialah siri Selamat Tahun Baharu Cina dan Dialog Asia bagi Pemuliharaan Warisan Budaya yang mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat. 

Mereka yang berminat untuk meneroka Zhejiang dinasihat melayari laman sesawang rasmi Bernama di www.bernama.com dan klik pada sepanduk iklan Pameran Maya Zhejiang.   

Sumber: BERNAMA