Posted on: 26/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Seramai 60 usahawan Malaysia telah diberi penghargaan pada “Made for The World Excellence Awards 2021.”

Majlis anugerah tahunan kedua iru telah dianjurkan oleh portal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dwibahasa, NiagaTimes.com dengan kerjasama media, The Malaysia Voice untuk meraikan pencapaian cemerlang dalam kalangan pemain industri yang kekal berdaya tahan dalam perniagaan mereka dan menyumbang kepada pembinaan negara walaupun menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Suriani Ahmad, pelaksanaan program sebegini amat penting dalam membantu meningkatkan prestasi usahawan tempatan serta secara tidak langsung membantu dalam pembangunan ekonomi negara.

Bercakap mewakili Menteri MEDAC, Tan Sri Noh Omar, beliau berkata semua pihak menyedari peranan penting usahawan ketika ekonomi negara naik dan merosot.

“Justeru, program anugerah ini boleh dianggap sebagai pendorong terbaik dalam menyemai semangat keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Malah, kami di MEDAC juga akan memastikan segala usaha dan inisiatif Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030, termasuk matlamat untuk mewujudkan negara keusahawanan akan terus dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Penasihat NiagaTimes, Emir Abdul Jalal berkata acara anugerah bertemakan  ‘Aspirations and Achievements of Economic Heroes, Source of Inspiration for All’ menyaksikan anugerah itu disampaikan dalam 10 kategori anugerah seperti eksport, e-dagang, firma profesional, makanan dan minuman, inovasi teknologi, dan lainlain.

“Untuk pengiktirafan tertinggi, Anugerah Kategori Antarabangsa (Jenama Dipercayai Asia Terbaik dalam Dermatologi dan Rawatan Laser), penerimanya ialah Klinik Pakar Kulit Ko Sdn Bhd.

“Syarikat ini diiktiraf atas perkhidmatan dan sumbangannya yang mengagumkan sepanjang 24 tahun dalam industri,” katanya.

Penerima anugerah tertinggi bagi Kategori PKS Malaysia, Organisasi Latihan Penerbangan Cemerlang tahun ini ialah Skyvax Sdn Bhd.

Beliau berkata syarikat itu adalah organisasi latihan penerbangan yang berkembang maju dan pesat dengan pencapaian cemerlang selepas mencatatkan jumlah jualan kira-kira RM11 juta tahun lepas.

Penerima anugerah cemerlang lain termasuk MTG Capital Sdn Bhd (Pembekal Perkhidmatan Teknologi Kewangan Terbaik – Kategori PKS Malaysia), Worldex Medic Supplies Sdn Bhd (Pembekal Sarung Tangan Terbaik  – Kategori PKS Malaysia) dan BubbleBee Sdn Bhd (Jenama Minuman Gaya Hidup Terbaik  – Kategori PKS Malaysia).

Turut diberi penghormatan adalah Asal Jasa Sdn Bhd (Peneraju Pelombong dan Pengeksport Pasir Sungai – Kategori PKS Malaysia), Prestige Media Studios Sdn Bhd (Syarikat Fotografi Paling Inovatif – Kategori PKS Malaysia), dan Krista Education Sdn Bhd (Penjagaan Kanak-kanak dan Tadika untuk Tempat Kerja – Kategori PKS Malaysia).

Sumber: BERNAMA