Posted on: 26/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Tiga petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang dirancang bagi Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari pertama telah dapat dicapai 100 peratus, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Tiga KPI itu ialah membuka semula aktiviti industri kreatif; pelancaran Pakej Peranti serta Pakej Remaja Keluarga Malaysia; dan penawaran geran, dana dan skim insentif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri kreatif digital dan syarikat industri digital.

“Semua yang dirancang untuk 100 hari pertama telah dapat dicapai 100 peratus,” kata Annuar dalam sidang media selepas melancarkan portal setempat pelbagai perkhidmatan dalam talian MyDigital.KKMM di sini semalam.

Beliau memberikan contoh mengenai pembukaan semula industri kreatif terutamanya perfileman yang terlalu lama terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sasaran 2,000 syarikat berkaitan industri perfileman dihidupkan semula dengan pembaharuan lesen, namun kini 3,990 syarikat telah berjaya kembali untuk memulakan aktiviti penggambaran.

Beliau berkata KKMM menyasarkan 150 syarikat pendigitalan kandungan untuk memohon pelbagai dana yang disediakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta mendapat dana dalam tempoh 100 hari namun, kini ia berjaya menyelesaikan urusan penyampaian dana kepada 200 syarikat bagi membolehkan mereka memulakan urusan masing-masing.

Selain itu Annuar berkata inisiatif Pakej Peranti dan Pakej Remaja Keluarga Malaysia juga mencapai kejayaan apabila lebih 90,000 individu telah melanggani pakej berkenaan dan menikmati perkhidmatan jalur lebar dengan harga mampu milik.

“Kita menyasarkan 200,000 orang mendapat manfaat dan (sehingga) semalam lebih 90,000 telah mendapat nikmat melanggani pakej itu,” katanya. Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari adalah program serta inisiatif bagi membuktikan pencapaian prestasi dalam tempoh 100 hari pertama selepas dilantik dalam Jemaah Menteri.

Tempoh 100 hari ditetapkan bermula 1 September hingga 9 Disember, Annuar berkata beliau bersama menteri lain telah dipanggil semalam bagi membuat pembentangan ‘kad laporan’ masing-masing.

Beliau berkata KKMM akan meneruskan pelaksanaan agenda besar seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), perkhidmatan 5G dan penyediaan prasarana termasuk penyediaan Point of Presence (PoP) hab gentian optik bagi memperluaskan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar.

Sumber: BERNAMA